Current Visitor

Selasa, 15 Mac 2011

Perumahan di Malaysia : Jual & Buat vs Buat & Jual


Rumah adalah merupakan suatu aset atau pelaburan bernilai kepada setiap pemiliknya. Ia terdiri daripada pelbagai  jenis kategori iaitu dari jenis kos rendah sehinggalah yang bertaraf mewah atau luxury.

Sistem pemilikan hartanah semasa di Malaysia adalah dijalankan secara konsep 'Jual & Buat'. Ia bermaksud pemaju-pemaju yang memperolehi kelulusan lesen daripada Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melaksanakan proses penjualan unit-unit kediaman terdahulu kepada pembeli-pembeli sebelum unit rumah tersebut akan didirikan. Proses ini berjalan, dimana ketika tandatangan Surat Perjanjian Jual Beli (S&P) antara pembeli dan pemaju dimaktubkan, pihak pembeli dikehendaki membuat bayaran deposit  sebanyak 10% daripada nilai harga rumah. Manakala baki 90% akan diperolehi menerusi pembiyaan yang dibiayai oleh pihak bank atau Perbendaharaan Malaysia. Baki 90%, ini hanya akan dibayar kepada pemaju berdasarkan peringkat-peringkat kemajuan yang telah disahkan oleh perunding Arkitek  Profesional projek tersebut. Penggunaan konsep 'Jual & Buat' ini didapati mempunyai kebaikan dimana ia berupaya membantu pihak pemaju mendapat kecairan duit atau modal hasil daripada pembayaran deposit oleh pembeli atau pembayaran kemajuan daripada pihak pembiaya pembeli. Walaubagaimanapun, amalan semasa yang dijalankan tersebut, juga didapati mempunyai kelemahan terutamannya kepada kepentingan pembeli. Apabila Surat Perjanjian Jual Beli (S&P) telah ditandatangani dan kemudahan pembiayaan telah diperolehi, pihak pembeli adalah mempunyai satu tanggungjawab komitmen untuk membuat bayaran balik samaada melalui kredit di bank atau potongan gaji sehingga tamat pembiyaan. Cara ini dilihat akan mengundangkan masalah, iaitu sekiranya projek tersebut terbengkalai atau pemaju projek tersebut bermasalah, pihak pembeli tetap kena membuat bayaran sehingga tamat tempoh bayaran. Disini, dilihat kepentingan pihak pembeli gagal diselamatkan. Ini kerana saban hari, pihak media cetak atau elektronik kerap memaparkan masalah-masalah projek terbengkalai yang berlaku di tanah air yang akhirnya menjadi mangsa adalah pembeli-pembeli yang tidak berdosa.

Lantaran itu, pihak kerajaan, melalui Kementerian Perumahan Kerajaan Dan Perumahan Tempatan (KPKT) telah berusaha untuk mengatasi masalah ini dengan memperkenalkan kaedah 'Buat & Jual'. Dalam kaedah ini, pihak pemaju perlu menyiapkan keseluruhan unit rumah yang hendak dibina sebelum dijual kepada pembeli Kaedah ini telah diperkenalkan pada 13 April 2007, tetapi masih belum dikuatkuasakan sepenuhnya. Kaedah ini adalah suatu cara yang baik, kerana didapati dapat melindungi kepentingan pengguna atau pembeli rumah. Melalui kaedah ini, pihak pembeli dikehendaki untuk membayar sebanyak 10% deposit daripada harga asal rumah apabila Surat Perjanjian Jual Beli (S&P) ditandatangani dan ia akan dimasukkan terus ke dalam akaun HDA atau Akaun Pemaju Perumahan yang dikawalkan sepenuhnya oleh pihak Peguam  Pemaju. Baki 90% daripada harga rumah hanya akan dibayar oleh pembeli apabila sijil siap kerja atau CPC dikeluarkan oleh pihak Arkitek. Daripada tempoh CPC itu keluar, pihak pembeli mempunyai masa 120 hari atau 4 bulan untuk menjelaskan bakinya kepada pemaju. Sekiranya, pihak pembeli sudah membuat pembayaran deposit 10% dan didapati projek tersebut terbengkalai, pihak pembeli berhak untuk membatalkan perjanjian dan mendapatkan kembali deposit 10% yang telah dibayar tersebut. Pengenalan kepada kaedah 'Buat & Jual' didapati dapat membantu melindungi kepentingan pengguna sepenuhnya. Selain itu, hanya pemaju-pemaju yang mempunyai keupayaan pengurusan dan sumber kewangan yang kukuh dikenalpasti dapat melaksanakan mengikut konsep tersebut. Walaubagaimanapun, terdapat juga akibat 'kontra' akan timbul dari pelaksanaan kaedah ini, iaitu kemungkinan harga rumah akan menjadi bertambah mahal atau tinggi dimana, pihak pemaju akan menetapkan harga rumah termasuk kadar caj faedah yang ditanggungnnya sebelum ini. Ini mungkin akan membebankan kepada pengguna dimana terpaksa membayar harga rumah dengan yang begitu tinggi.

Kesimpulannya, kedua-dua kaedah ini didapati mempunyai kelebihan dan kekurangan. Walaubagaimanapun, Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai pihak berkuasa yang memantau perlaksanaan peraturan semasa perlu menjaga kepentingan pembeli kerana merekalah golongan selalu terkena akibat tindakan pihak pemaju yang tidak bertanggungjawab.

0 ulasan: