Current Visitor

Isnin, 14 Mei 2012

Berita Projek ~ Projek RAPID, Pengerang Projek Pembangunan Terbesar Negara - Najib

Lakaran artis projek kawasan Terminal Laut Bebas serta penyimpanan minyak dan gas di Pengerang, Johor  


KOTA TINGGI, 13 Mei 2012 (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia, (RAPID) di Pengerang di sini bakal memperoleh pelaburan bernilai RM120 bilion, yang menjadikannya sebagai projek pembangunan terbesar dalam negara.


Perdana Menteri berkata projek itu bakal melonjakkan dan mengukuhkan Johor sebagai satu pusat minyak dan gas serta petrokimia yang unggul di Asia serta dunia.


"Projek RAPID ini adalah sebahagian daripada Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang kerajaan kenal pasti sebagai projek berimpak tinggi dan mampu membawa perubahan besar kepada taraf sosio ekonomi rakyat.


"Ia mampu menghasilkan kapasiti pengeluaran sehingga 300,000 tong sehari penapisan minyak mentah untuk menghasilkan produk petroleum seperti petrol, bahan bakar jet dan diesel," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran projek RAPID, di Pengerang, di sini Ahad yang disempurnakan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.


Yang turut berangkat ke majlis itu ialah Tunku Mahkota Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta empat lagi putera baginda.


Najib berkata, projek RAPID yang lebih besar daripada kompleks sedia ada di Kerteh, Gebeng dan Melaka itu juga mampu menghasilkan produk petroleum seperti petrol, bahan bakar jet dan diesel.


"Projek itu juga mampu mengeluarkan 9.0 juta tan produk petroleum dan 4.5 juta tan petrokimia setahun yang boleh mengeluarkan pelbagai bahan kimia berkaitan dan ia nanti akan dilengkapi dengan kilang pengisian gas sendiri bagi menerima tangki Gas Asli Cecair (LNG)," katanya.


Najib turut mengumumkan bahawa sebuah syarikat petrokimia dari Taiwan bersetuju melabur antara RM30 bilion hingga RM36 bilion untuk membangunkan sebuah lagi kompleks bersepadu minyak dan petrokimia berhampiran projek RAPID.


Beliau berkata, kompleks itu nanti akan terdiri daripada sebuah loji penapisan minyak dengan kapasiti 150,000 tong sehari serta sebuah loji perekah nafta dengan kapasiti 800,000 tan setahun.


Menurutnya, jika kedua-dua buah projek ini berjaya dilaksanakan, wilayah Johor Selatan akan berupaya memproses 450,000 tong sehari dan perekah nafta sebanyak 3.8 juta tan setahun.


Sebelum ini, katanya Petronas juga menandatangani Perjanjian Dasar Induk dengan syarikat kimia antarabangsa dari Jerman iaitu BASF SE.


Katanya perjanjian itu yang merangkumi pelan untuk membangun, membina dan menyelia kawal kemudahan pengeluaran bertaraf dunia untuk bahan kimia khusus serta kilang bahan kimia asas yang bakal dibangunkan di dalam kompleks RAPID.


Najib berkata, disebabkan projek RAPID ini dipercepatkan pelaksanaanya, pihaknya yakin projek Petronas akan berupaya mencapai matlamat dalam tempoh lima tahun dengan dijangka mula beroperasi akhir 2016.


Selain itu, Najib berkata pembangunan projek itu tetap mengambil kira kepentingan alam sekitar mengikut piawaian antarabangsa.


Beliau memberi jaminan Petronas sentiasa mengutamakan aspek penjagaan alam sekitar dalam setiap projeknya dan mengharap penduduk kawasan itu tidak perlu risau terhadap kesan negatif terhadap alam sekitar.


Penduduk juga akan diberikan pampasan sewajarnya dengan setakat ini sebanyak RM4.1 juta sudah dibayar kepada nelayan terjejas, selain menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengendalikannya, katanya.


Pada majlis itu, Najib turut menyampaikanreplika cek RM1.24 juta kepada Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman untuk membaik pulih 124 rumah nelayan menerusi Projek Khas Perumahan Nelayan.


Sebelum ini, sebanyak RM1.7 juta telah disalurkan menerusi projek khas itu dengan melibatkan 172 buah rumah.

1 ulasan:

¦ s ¦ a ¦ i ¦ f ¦ u ¦ l ¦ berkata...

Ada contact person RAPID tak untuk bawa student QS melawat tapak?
Penting untuk pendedahan student bagi projek sebegini.