Current Visitor

Sabtu, 16 Mei 2020

Bayaran kemajuan ibarat ‘jantung’ kepada projek pembinaan


Tajuk: Bayaran kemajuan ibarat ‘jantung’ kepada projek pembinaan

Sektor pembinaan telah menarik perhatian ramai pihak atas sifatnya yang dilihat dapat memberi pulangan yang berlipat ganda jika ia dilaksanakan dengan jayanya mengikut masa, kualiti dan kos yang telah ditetapkan. Pelbagai pihak seperti pihak majikan, kontraktor, sub kontraktor, pembekal dan juga perunding perlu memainkan peranan tersendiri dengan penuh berhemah dan integriti dalam pelaksaan projek. Namun hal ini indah khabar dari rupa.

Isu bayaran dalam projek

Industri pembinaan tidak dapat dipisahkan dengan pembayaran. Ia bagaikan aur dengan tebing. Terdapat pelbagai jenis bayaran di dalam sesuatu projek pembinaan antaranya bayaran pendahuluan (advanced payment), bayaran kemajuan (Interim payment), bayaran penultimate dan bayaran muktamad. Kesemua jenis bayaran ini sangat penting kepada pihak kontraktor yang mana ia boleh diibaratkan jantung kepada projek pembinaan. Bayangkan bagaimana seseorang manusia tanpa jantung? Adakah seseorang itu mampu bergerak? Hal yang sama dengan bayaran dalam projek pembinaan. Apakah akan terjadi jika projek tanpa bayaran oleh pihak klien atau pihak kontraktor? Sudah pasti ia akan memberi impak yang kurang baik kepada rangkaian dalam projek itu sendiri seperti kepada pihak pembekal bahan binaan, buruh am sendiri dan lain-lain. Terdapat banyak kesan buruk hasil daripada masalah pembayaran yang membelenggu projek pembinaan seperti kelewatan, terbengkalai, ditamatkan, disita, bakal di bawa ke mahmakah dan bermacam-macam lagi yang tentu memberi impak negatif kepada sektor pembinaan.
Berdasarkan senario ini, apakah mekanisma yang boleh dibuat untuk mengatasi masalah ini? Seperti semua maklum, di dalam borang-borang kontrak setara seperti JKR203A (2010) memperuntukkan pihak majikan perlu menjelaskan bayaran dalam tempoh 30 hari dari tarikh perakuan ditapak. Ini yang perlu dipatuhi oleh pihak klien. Namun hal sebaliknya sering berlaku di mana kita sering mendengar pelbagai alasan seperti payment belum clear ataupun main contractor belum bayar digunakan oleh pemain dalam sesuatu projek pembinaan. Perkara ini perlu diubah bagi mengelakkan ‘barah’ dalam projek pembinaan semakin merebak yang mana ia boleh kesan kepada pihak-pihak yang bertungkus lumus menyiapkan projek di tapak.

Tahap pengetahuan kontraktor terhadap CIPAA?

Pelbagai usaha bagi mengatasi masalah yang berkaitan dengan pembayaran ini telah dilaksanakan termasuklah pihak kerajaan melalui badan-badan berkuasa seperti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Asian International Arbitration Centre (AIAC) yang dahulu dikenali sebagai Kuala Lumpur Regional Centre Arbitration (KLRCA) sentiasa mencari jalan terbaik bagi mengatasi masalah pembayaran ini. Kaedah yang dijalankan oleh beberapa negara seperti United Kingdom, Singapura, Australia dan New Zealand, masalah pembayaran boleh diselesaikan dengan memperkenalkan peraturan berkaitan hal-hal pembayaran dalam projek pembinaan. Ekoran hal tersebut, di Malaysia, satu akta yang dikenali sebagai Construction Industries Payment Adjudication Act (CIPAA) 2012 telah diperkenalkan pada tahun 2014. Banyak impak positif hasil pelaksanaan CIPAA ini dapat diihat di mana pihak yang sering ditindas (tidak diberi bayaran) tidak perlu menunggu sehingga projek tamat untuk mendapatkan tuntutan bayaran mereka. Selain itu, dengana adanya CIPAA , pertikaian berkaitan pembayaran tidak perlu dibawa ke mahkamah yang lazimnya akan mengambil masa yang lama untuk diselesaikan.

Apa lagi yang ditunggu wahai pihak kontraktor, sub kontraktor atau pembekal? Ambil peluang keemasan ini untuk menyelesaikan permasalahan bayaran (kelewatan atau tiada bayaran) yang kalian hadapi. Persoalannya, adakah semua kontraktor yang berdaftar dengan CIDB yang hampir berjumlah 70,000 syarikat ketika ini, benar-benar faham mengenai peruntukkan CIPAA. Kerana daripada 70,000 syarikat kontraktor ini, hampir 50% adalah terdiri daripada Gred G1 yang menjalankan kerja-kerja di bawah nilai RM 200 ribu. Kebanyakkan mereka ini berada di kawasan luar bandar yang dipercayai mempunyai kesedaran yang masih lagi rendah berkenaan CIPAA ini. Jadi pihak berwajib seperti CIDB dan badan-badan kerajaan perlu menagambil langkah yang proaktif dalam menyebarluar secara berterusan kepada pihak kontraktor ini terutamanya kepada kontraktor-kontraktor bersaiz kecil dan sederhana.

Dengan kefahaman yang mantap mengenai CIPAA ini ia dapat membantu dalam mengatasi pertikaian berkaitan pembayaran yang berpunca samaada daripada majikan ataupun dari kontraktor utama.

Tanjong Malim
16 Mei 2020

Arkitel ini adalah semata-mata pendapat penulis dan tidak mewakili mana-mana pihak..

0 ulasan: