Current Visitor

Sabtu, 16 Mei 2020

Pasca Pandemik Covid-19, Dillema kepada syarikat kontraktor


Pasca Pandemik Covid-19, Dillema kepada syarikat kontraktor


Gambar hiasan

Industri pembinaan merupakan salah satu sektor yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Negara. Ini terbukti dengan terdirinya perlbagai projek di Malaysia. Banyak manfaat diperolehi melalui lonjakan ekonomi tersebut dengan telah membuka peluang pekerjaan kepada ahli ikhtisas dan juga separa ikhtisas. Bilangan syarikat kontraktor yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) juga bertambah dengan sekitar 90 ribu syarikat.

Walaubagaimanapun tahun 2020 yang dilihat dapat membawa kemakmuran kepada Negara dilihat telah bertukar sifat dengan tersebarnya suatu wabak yang berasal di sebuah daerah di dalam Negara Cina pada sekitar Disember 2019. Ia telah merebak dengan cepat dan tersebar kepada seluruh dunia. Wabak yang dikenali sebagai Pendemik Covid-19 memang sememangnya tidak terfikir dengan akal kerana telah melandai seluruh dunia. Akibat daripada pengumuman sebagai pandemic oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Ia telah mengakibatkan ekonomi yang suatu ketika tengah rancak seolah-olah terhenti. Banyak Negara di seantero dunia telah menguatkuasa peraturan kawalan pergerakan atau terkenal dengan istilah lockdown. Sudah tentu pelaksanaan kepada lockdown ini telah merencatkan pelbagai aktiviti normal manusia seperti institusi pendidikan seperti sekolah, university, maktab terpaksa ditutup. Situasi ini juga memberi kesan kepada rumah ibadah seperti masjid, kuil, gereja , semua aktiviti keagamaan terpaksa ditangguh bagi membendung penyebaran wabak Covid -19 tersebut. Selain itu, akibat wabak Covid-19 telah menyebabkan ratusan ribu ataupun jutaan manusia seluruh dunia telah kehilangan peluang pekerjaan akibat, banyak sektor pekerjaan terpaksa menghentikan operasi.

Malaysia sebagai sebuah negara yang makmur juga terkesan dengan wabak covid-19 ini, apabila sekitar bulan Februari 2020, wabak ini telah mula membadai di Malaysia. Walaubagaimanapun, dengan kekuatan dan kebijaksanaan pihak berkuasa iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia telah berjaya menangani dari menjadi lebih teruk.

Pengenalan Peraturan Kawalan Pergerakan (PKP) bermula dari 18 Mac 2020 sehinggalah kini telah memasuki Peraturan Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah membawa banyak impak. Impak ini boleh dikatakan agak sukar diterima dimana salah satu sektor yang penting iaitu industry pembinaan telah terhenti sementara semenjak 19 Mac 2020. Banyak projek pembinaan terpaksa ditangguh sementara bagi menyokong usaha kerajaan untuk membendung penyebaran virus tersebut diseluruh Negara termasuklah di kawasan tapak pembinaan. Impak dari penangguhan projek pembinaan ini telah banyak memberi banyak kesan terutama kepada aliran tunai kontraktor, sub kontraktor tiada kerja, buruh binaan tiada gaji, pihak pembekal bahan binaan gagal beroperasi dan juga kepada syarikat pengangkutan yang membawa bekalan bahan binaan ditapak terpaksa memberhentikan sementara operasi akibat banyak sekatan jalan berlangsung.

Apabila pihak kerajaan menerusi MITI membenarkan indusri-industri tertentu untuk beroperasi semula ketika PKPB, dengan mengambilkira bahawa Negara mengalami kerugian hampir RM 2.4 Billion satu hari. Setidak-tidaknya telah memberi harapan cerah kembali kepada sektor pembinaan untuk beroperasi semula. Dan antara berita baik diterima oleh pihak kontraktor untuk kontrak sedang berjalan sebelum PKP, penangguhan tersebut membenarkan mereka memperolehi Lanjutan Masa atau EOT dalam lebih hampir 2 bulan di bawah Klausa Force Majeure Oleh demikian kontraktor tidak akan dikenakan Gantirugi LAD seperti yang disyaratkan dalam kontrak. Pemberian EOT berdasarkan force majeure ini sebenarnya, tidak membenarkan kontraktor menuntut perbelanjaan dan kerugian tambahan atau loss and expense.

Disini bermulalah dilemma kepada pihak kontraktor, kerana antara peraturan yang ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui agensi CIDB dan Kementerian Kerja Raya (KKR) di bawa prosedur standard kerja (SOP) kerja pembinaan iaitu sebelum memulakan kerja pembinaan ditapak, perlu mematuhi perkara-perkara seperti menjalankan saringan kesihatan seperti swap test untuk pekerja warga asing, berdaftar laman web CIMS CIDB, menjalankan penjarakan sosial, semakan suhu, memakai mask, kekerapan penggunaan sanitizer dan lain-lain. Untuk syarat-syarat yang mudah seperti penyediaan mask dan sanitizer, kemungkinan kos yang ditanggung oleh kontraktor berkemungkinan tidaklah besar. Walaubagaimanapun, untuk saringan  swap terutamanya kepada pekerja asing yang tidak berdaftar adalah amat dibebankan. Dengan kos sekitar RM 400 seorang dan di kalikan dengan bilangan pekerja. Anda cuba kiralah sendiri

Adalah amat membebankan kepada pihak kontraktor terutamanya kepada kontraktor bertaraf Gred G1 dan Gred G2. Sudah tentu margin munasabah yang dijangka sebelum ini akan menjadi tidak munasabah. Dengan peraturan pihak berkuasa menetapkan bahawa, kegagalan pihak kontraktor untuk mematuhi SOP yang ditetapkan, akan boleh menyebabkan dikenakan yang amat berat seperti tapak bina ditutup dan juga didenda. Anda bayangkan, sudahlah didenda , tapak bina ditutup, berapa banyak kerugian bakal ditanggung oleh pihak kontraktor

Walaupun, pihak kerajaan memperuntukan sejumlah kos peruntukan melalui Perkeso dimana majikan boleh membuat pemeriksaan pekerja asing yang berdaftar di pusat pemeriksaan yang dilantik oleh Perkeso, dilemma timbul juga disini dimana proses pemeriksaan perlu melalui proses giliran yang dijangka mengambil masa yang agak lama. Disini persoalannya, berapa lama pihak kontraktor perlu sabar menunggu giliran sedangkan, kerja di tapak perlu mula segera. Oleh demikian, pihak kontraktor ketika ini cenderung untun menggunakan duit poket sendiri untuk membuat pemeriksaan kesihatan diklinik-klinik swasta.

Selain itu, terdapat cabaran lagi dimana di sesetengah negeri mewajibkan pihak kontraktor perlu mendapatkan kebenaran dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan perlu mengemukakan beberapa dokumen untuk kelulusan. Ini sudah tentu akan menyumbang juga kepada kelewatan kepada pihak kontraktor.

Oleh itu kepada pihak kontraktor, setidak-tidaknya, kena usaha menulis surat kepada pihak majikan untuk memohon ehsan agar kos-kos pengurusan covid seperti swap test dan lain-lain ini boleh dipertimbangkan di bawah pertimbangan ex gratia atau mana-mana peruntukan yang difikirkan munasabah, walaupun sememangnya diketahui bahawa dibawah klausa loss and expense, kontraktor adalah tidak layak dipertimbangkan.

Manakala kepada pihak majikan setidak-tidaknya boleh membantu pihak kontraktor demi kelansungan projek pembinaan tersebut dapat disiapkan dalam tempoh yang amat mencabar dan tidak terduga oleh akal ini dimana pandemic covid 19 telah memberi kesan kepada kemajuan kerja di tapak pembinaan.

Kepada pihak majikan lagi sekali, terutamanya pihak kerajaan, bolehlah membuat sedikit pindaan dengan klausa berkaitan pandemic ataupun menambahbaik keatas Klausa 77 sediaada yang berkenaan Epidemics. Paling tidak sekurang-kurangnya akan menjadi panduan sekiranya kejadian ini akan berulang pada masa hadapan

Azilan, PQS
16 Mei 2020  

Disclaimer:
Artikel diatas merupakan pandangan bebas penulis dan tidak mewakili mana-mana pihak.

0 ulasan: