Current Visitor

Ahad, 10 Jun 2012

Berita Projek : Projek Bus Rapid Transit (BRT)


PETALING JAYA: 9 Jun 2012 - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, pada Sabtu, melancarkan projek Bus Rapid Transit (BRT)-Sunway Line yang akan memberi kemudahan pengangkutan kepada kira-kira 500,000 penduduk di sekitar Bandar Sunway dan Subang.

Dengan anggaran kos awal RM300 juta, projek dilaksanakan di bawah inisiatif perkongsian sektor awam dan swasta melibatkan syarikat milik kerajaan Syarikat Prasarana Negara Bhd (Prasarana) dan syarikat swasta Sunway Bhd itu akan dilaksanakan pada penghujung tahun ini dan dijangka siap pada penghujung 2014.

Najib dalam ucapan perasmiannya di Sunway Monash Residence di sini berkata projek itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk terus memperbaiki sistem pengangkutan awam seperti yang terkandung di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), terutama di bandar-bandar utama yang memerlukan sistem pengangkutan yang cekap dan boleh dipercayai.

“Kita perlu untuk melakukan transformasi ini kerana kita perlu kepada sistem pengangkutan yang dapat memenuhi keperluan sebuah bandar yang moden.




“Sebelum ini, kita telah memperkenalkan LRT, dan banyak juga skeptikal, yang mengatakan LRT tidak akan berjaya, tetapi kini LRT telah dapat menjana seramai 450,000 penumpang sehari, dengan purata penumpang pada waktu puncak hampir 85,000,” katanya. Najib berkata kerajaan telah memperkenalkan tren empat gerabak itu pada Disember 2009 untuk memenuhi permintaan yang semakin memuncak dan kini pada waktu puncak, tren itu penuh sesak.




“Ini menunjukkan tanpa LRT dan monorel ini, kita tidak dapat bayangkan bagaimana keadaannya (kesesakan trafik), yang terpaksa kita lalui di kawasan Lembah Klang ini,” katanya.

Beliau berkata ketika ini saham pengangkutan awam amat rendah iaitu kira-kira 17 peratus dan kerajaan mensasarkan saham itu meningkat kepada 40 peratus menjelang 2020.




“Kami mesti lakukan semuanya yang kami perlu lakukan supaya rakyat yang tinggal di Lembah Klang akan dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik,” katanya.

Najib berkata Prasarana menerusi anak syarikat dan divisyennya kini bertanggungjawab bagi perkhidmatan pengangkutan di tiga laluan iaitu Ampang Line, Kelana Jaya Line dan Kuala Lumpur Monorail.




Najib berkata laluan berkenaan akan diselaraskan sebagai rangkaian dalam bentuk BRT. Beliau berkata amat baik bahawa projek baru itu dilaksanakan di bawah perkongsian swasta-awam, inisiatif yang sentiasa digalakkan oleh kerajaan kerana ia menggabungkan kekuatan sektor awam dan swasta untuk menjayakan usaha pembinaan negara.










“Ini adalah konsep yang saya ingin galakkan dan sokong kerana saya percaya dengan saling bekerjasama rapat, ia akan menjana faedah dan kebaikan bersama kepada syarikat swasta dan juga kerajaan,” katanya. - BERNAMA







0 ulasan: